Dari jauh dia
sudah dapat mengagak gerangan dua susuk tubuh yang berdiri membelakanginya. Dia
menarik nafas panjang. Langkah yang tadinya mati di anak tangga terakhir
diteruskan.
“Assalamualaikum”
doa kesejahteraan itu dilafaz perlahan.
“Waalaikumussalam”
jawab Mak Nab dan Suraya hampir serentak seraya berpusing sedikit kebelakang
mencari arah datangnya suara tadi. Suara bekas menantu dan kakak ipar keduanya.
Langkah disusun
mendekati bekas mak mertuanya. Perlahan dia tunduk menyambut dan mencium tangan
yang dihulur. Lupakan sengketa yang lepas dan tunduk hormatlah pada sesama
manusia tak kira latar usia. Itulah didikan papa dan mama yang dipegangnya
sehingga kini.
Suraya juga
bebuat demikian. Secebis senyuman dilemparkan. Sudah agak lama dia tidak bersua
muka dengan bekas kakak iparnya itu.
“Lama dah mak
sampai? Duduk la dulu....mak..Suraya. Hanis ke dapur buat air”.
Tak sampai dua
tapak dia menapak, terdengar suara bekas mak mertuanya meningkah. “Tak payah
susah-susah Hanis. Mak ada perkara nak bincang dengan kamu”. Ada kesayuan dalam
mata dan nada suara Mak Nab.
Kaki tidak jadi
melangkah sebaliknya dia menyertai tetamunya itu duduk di sofa ruang tamu.
“Haikal mana?”
soal Mak Nab berbasi-basi.
“Oh, Haikal
tidur kat atas. Mak nak jumpa dia?”
“Tak apa la.
Biarkan dia tidur. Sebenarnya mak datang ni nak cakap pasal......Azhar”.
Serta-merta
terasa degupan jantungnya lebih pantas daripada biasa tatkala mendengar nama
itu. Nama yang suatu ketika dulu pernah menemani hari-hari indah sepanjang
hidupnya. Tapi ternyata semuanya berbeza kini. Kalau dulu nama itu menghadirkan
sejuta bahagia namun kini nama itu cuma mampu memberi sejuta rasa yang tidak
berperisa. Hanya keluhan yang mampu terluah.
“Azhar ada di
Hospital Universiti sekarang ni. Mak harap sangat Hanis dapat datang menjenguk”
sambung Mak Nab. Tapi sikap mendiam diri Hanis sangat mendera hati tuanya. “Mak
tau. Mak banyak buat silap pada kamu berdua. Tapi mak harap sangat Hanis ...”
Tak terdaya lagi untuk menghabiskan butir perkataan. Deraian air mata yang
tertahan sedari tadi, terlerai juga. Tersedar akan kekhilafan diri yang dulu
telah meragut kebahagiaan anak menantunya itu.
“Mak minta
maaf....mak minta maaf” esakan kecil Mak Nab mula memenuhi ruang ketika itu.
“Tapi mak harap sangat Hanis dapat datang. Kalau bukan untuk mak. Datang la
untuk Haikal. Dia mesti rindukan papa dia. Azhar pun mungkin teringin benar melihat
Haikal”.
Hanis menarik
nafas panjang. Mendengar rintihan bekas mak mertuanya membuatkan hatinya
berbaur. Bukan mudah untuk melupakan derita yang ditanggung dulu. Parutnya
masih berbekas di hati. Tetapi dia juga tidak betah membiarkan bekas mak
mertuanya dihantui rasa bersalah. Mungkin dia juga turut menyumbang kepada
persengketaan lalu.
“Sudah la mak.
Hanis tak mau ungkit kisah lalu. Benda dah lepas. Tapi tentang permintaan mak
tu ....” dia bejeda seketika sebelum menyambung; “Hanis tak boleh nak janji
apa-apa”.
getting more interesting... Sambunglah entry... Kalau boleh, panjanglah sikit...
ReplyDelete